Sinopsis filem:
Dengan menggunakan kata-kata mereka sendiri, satu komuniti Iban Dayak menceritakan perjuangan mereka selama sepuluh tahun untuk melindungi kebun, dusun, dan simpanan hutan primer yang tradisional daripada ladang pulpa industri yang dibenarkan oleh kerajaan Negeri Sarawak tanpa proses undang-undang atau pampasan yang wajar.
Filem sepanjang 27 minit ini merupakan hasil kerjasama The Borneo Project dan komuniti Rumah Nor, Sebauh, Sekabai, Bintulu, Sarawak, Malaysia selama beberapa bulan pada tahun 2006 dan 2007. Ia dihasilkan dengan bantuan daripada ahli Threshold Foundation dan Borneo Project.
Filem ini merupakan satu pengenalan pendidikan kepada Nor Nyawai & Others vs. Borneo Pulp Plantation & Others. Dalam kes mahkamah pada tahun 2001 yang mewujudkan duluan tersebut, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Rumah Nor memang mempunyai bukti yang mencukupi untuk menuntut hak adat istidadat peribumi terhadap semua kawasan tradisional ("pemakai menoa") mereka, termasuk kebun dan tanah rang ("temuda") dan “kawasan pertikaian”, yang merupakan simpanan hutan primer (“pulau galau”) mereka yang dimusnahkan oleh Borneo Pulp Plantation, sebuah syarikat subsidiari Borneo Pulp & Paper dan Asia Pulp & Paper.
Pada tahun 2005, kemenangan mereka diterbalikkan sebahagiannya di Mahkamah Rayuan Negeri oleh kerana “kekurangan bukti penempatan kawasan pertikaian”. Hairannya, semua tanah mereka di luar kawasan pertikaian masih dianggap oleh mahkamah sebagai tanah hak adat istiadat peribumi yang sah.
Komuniti itu sedang merayu terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan, yakni mahkamah yang tertinggi di Malaysia. Mahkamah Persekutuan mesti memutuskan apa yang membentuk atau tidak membentuk “bukti yang mencukupi” dan “penempatan” bagi tuntutan hak tanah adat istiadat peribumi di Malaysia, terutamanya simpanan hutan primer yang digunakan untuk memburu, mengutip, memancing, tumbuhan ubat-ubatan dan rotan. Keputusan ini akan mewujudkan satu duluan yang amat penting bagi ratusan komuniti orang asli di seluruh negara yang sedang memperjuangkan hak terhadap tanah nenek moyang mereka, terutamanya kawasan hutan.
Translated by Pei Ling Haussecker, 30 January 2008 |